global

Hakim 'selamatkan' keluarga

Oleh Agensi

CANBERRA: Sebuah keluarga terlepas sementara daripada diusir pihak berkuasa Australia ke Sri Lanka selepas hakim persekutuan mengarahkan penggantungan pelaksanaan perintah berkenaan ketika mereka dalam penerbangan ke Colombo dari Melbourne, memaksa pesawat dinaiki mendarat di Darwin.

Keluarga berbangsa Tamil itu terdiri daripada Nadesalingam, isterinya Priya dan dua anak perempuan berusia dua serta empat tahun yang dilahirkan di Australia, lapor Mail Online.

Pasangan berkenaan datang ke Australia secara berasingan menaiki bot pada 2012 dan 2013 sebelum bertemu seterusnya berkahwin di negara itu.

Kerajaan konservatif Australia mengarahkan mereka dibawa dari pusat penahanan imigresen di Melbourne terus menaiki pesawat ke Colombo pada lewat Khamis lalu, lapor Al Jazeera.

Bagaimanapun, Hakim Persekutuan Heather Riley mengeluarkan perintah injunksi menerusi telefon seterusnya memaksa pesawat itu mendarat di Darwin pada jam 3 pagi (waktu tempatan).

Keluarga itu tinggal di pekan Biloela selama tiga tahun sebelum dibawa secara paksa ke pusat penahanan pada Mac lalu selepas visa Priya luput, dalam kes yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Menteri Dalam Negeri Peter Dutton menegaskan keluarga itu bukan pelarian dan tidak layak mendapat perlindungan di Australia.

“Keluarga ini perlu menerima hakikat mereka bukannya pelarian dan kami tidak berkewajipan memberikan perlindungan. Mereka datang ke Australia menaiki bot dan dari awal dimaklumkan tidak boleh terus tinggal di sini,” katanya kepada media tempatan.

Bagaimanapun, AFP memetik jurucakap Majlis Pelarian Tamil, Aran Mylvaganam berkata, keluarga itu berdepan ancaman jika pulang ke Sri Lanka, yang berbahaya untuk bangsa etnik berkenaan.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 8:57pm
d