global

Penunjuk perasaan buat hal lagi

Oleh AFP

HONG KONG: Huru-hara tercetus di Hong Kong apabila polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang membaling bom petrol, hari ini.

Tindakan itu bagi menyuraikan penunjuk perasaan dari berkumpul di hadapan Parlimen yang pernah diserbu pada bantahan Julai lalu.

Sebelum itu, penunjuk perasaan melepasi sekatan di luar Parlimen, namun mereka dihalang apabila polis mula melepaskan gas pemedih mata dan meriam air yang menembak air berwarna biru.

Menurut laporan media tempatan, air biru itu bagi memudahkan polis mengecam suspek perusuh.

Terdahulu, puluhan ribu penunjuk perasaan berpakaian hitam berarak sambil berpayung di bandar berkenaan meskipun perhimpunan itu diharamkan polis.

Menjelang petang, keganasan tercetus di pusat komersial Hong Kong dengan segelintir penunjuk perasaan membaling bom petrol dan batu ke arah polis.

Penunjuk perasaan bertopeng turut mencetuskan kebakaran di sekatan berhampiran ibu pejabat polis Hong Kong dan api hanya dipadamkan setengah jam kemudian.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 10:55pm
d