global

Ambulans udara terhempas

Oleh AFP

MANILA: Tujuh orang maut selepas sebuah ambulans udara terhempas di kawasan peranginan berhampiran ibu negara Filipina, mencetuskan kebakaran besar dan menyebabkan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri, kata pihak berkuasa.

Mayat tujuh mangsa yang maut sudah ditemui dan kesemua lapan penumpang pesawat ringan itu dipercayai terkorban dalam nahas di Calamba City itu, kata pegawai kecemasan tempatan Jeffrey Rodriguez kepada AFP.

Rakaman tersebar di media sosial menunjukkan keadaan huru-hara dengan sebuah ambulans dilihat menuju ke arah bangunan yang terbakar manakala saksi di jalan raya menjerit meminta tolong.

“Tiada mangsa terselamat dalam nahas ini. Kami mengandaikan semua penumpangnya maut,” kata Rodriguez.

Menurut polis, dua orang cedera dalam nahas itu, tetapi tiada kematian dilaporkan dalam kalangan mangsa di resort berkenaan.

Pihak berkuasa penerbangan Filipina berkata, enam penumpang dan dua juruterbang berada atas pesawat itu, yang hilang dari radar ketika 25 batu nautika dari Manila.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 8:53pm
d