global

Hukuman kalah kes

Oleh Agensi

Tirana (Albania): Seorang peguam yang mewakili beberapa kumpulan mafia Albania mati ditembak dipercayai sebagai hukuman selepas dilaporkan kalah dalam beberapa kes jenayah berprofil tinggi.

Ravik Gurra, 50, dilaporkan ditembak tiga kali di kepalanya oleh seorang pembunuh upahan menggunakan pistol yang dipasang penyenyap ketika minum di luar sebuah kafe bersama rakannya di Elbasan, lapor Daily Mail.

Mangsa sebelum ini yang bekerja sebagai jurubahasa di Kementerian Dalam Negeri Britain turut mewakili beberapa samseng Albania, termasuk ahli keluarga penjenayah Capja yang terkenal di negara itu, tetapi kalah dalam beberapa kes.

Pada November lalu, dia mewakili Emiljano Shullazi, yang dihukum penjara 14 tahun kerana melakukan pemerasan dan menjalankan organisasi jenayah. Bagaimanapun, tiada bukti mengaitkan Shullazi terbabit dalam pembunuhannya.

Seorang peguam Albania, yang namanya dirahsiakan berkata: “Pembunuhan Gurra perlu diberi perhatian oleh peguam yang mewakili penjenayah. Kami tidak selamat untuk mewakili mafia.

“Kumpulan penjenayah beroperasi di seluruh sempadan. Jika mereka membunuh peguam di Albania kerana hilang kes, mereka juga boleh membunuh di tempat lain seperti Jerman dan England.”

Sumber melaporkan, polis Albania mempunyai dua teori mengenai pembunuhan itu iaitu sama ada ia hukuman kerana mangsa gagal dalam kes atau dilakukan kumpulan saingan.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 10:31am
d