global

Dorian 'halau' sejuta penduduk

Oleh Agensi

Columbia (Amerika Syarikat): Pihak berkuasa Carolina Selatan semalam mengarahkan hampir sejuta penduduk yang tinggal di sepanjang pantai negeri itu berpindah selepas taufan Dorian yang membawa angin sekuat 320 kilometer sejam membadai utara Bahamas.

Arahan perpindahan itu diumumkan pada petang semalam oleh Gabenor Henry McMaster yang tidak mahu mengambil sebarang risiko walaupun ramalan menyatakan taufan super itu akan bergerak selari dengan pantai.

Pihak berkuasa memberitahu, arahan itu membabitkan 830,000 penduduk yang kebanyakannya sudah berpindah empat kali dalam tempoh empat tahun.

Sementara itu, taufan Dorian membadai Bahamas sebagai ribut kedua paling ganas direkodkan dan menghampiri Amerika Syarikat (AS) dengan sebahagian Florida sudah dipindahkan manakala Georgia dan Carolina berdepan angin kencang dan banjir.

Pusat Taufan Nasional AS (NHC) berkata, Dorian mendarat di Elbow Cay di Pulau Abaco sebagai ribut Kategori 5 dengan angin maksimum 295 kilometer sejam dan tiupan angin lebih 354 kilometer sejam.

Ia membadai kali kedua di Pulau Great Abaco berhampiran Pelabuhan Marsh dan kini sejauh 113 kilometer dari pantai Florida.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 10:47am
d