global

Lelaki 96 tahun pecah rekod menyelam

Oleh Reuters

LARNACA: Seorang veteran Perang Dunia Kedua meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-96 dengan memecahkan rekod sendiri sebagai penyelam skuba tertua di dunia untuk kali ketiga berturut-turut.

Ray Woolley yang dilahirkan pada 28 Ogos, menyelam sedalam 42.4 meter selama 48 minit yang menyamai ketinggian bangunan 15 tingkat dengan mengalahkan rekod terdahulu, 40.6 meter selama 44 minit.

“Sukar dipercayai. Saya sudah menyelam selama 59 tahun dan ini adalah aktiviti yang akan diingati kerana ramai penyelam turut menemani.

“Jika saya masih mampu menyelam dan kawan-kawan sudi menyelam bersama, saya harap dapat melakukannya lagi tahun depan,” kata Woolley yang berterima kasih kepada 47 penyelam lain.

Woolley berasal dari Port Sunlight di barat laut England dan kini menetap di Cyprus adalah operator radio semasa perang. Dia berjaya memecahkan dua rekodnya terdahulu pada 2017 dan 2018.

Rekod terbaharu itu dicatat ketika membuat penerokaan ke atas bangkai kapal kargo Zenobia yang tenggelam bersama sebuah trak di perairan Larnaca pada 1980 yang juga lokasi menyelam terkenal.

Dokumentari kisah hidupnya ‘Life Begins at 90’, bakal ditayangkan di festival filem Bosnia-Herzegovina bulan ini.

“Saya enggan menerima hakikat yang saya sudah tua,” kata Woolley.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 8:36pm
d