global

Suara bongkar rahsia

Oleh Agensi

Palembang:Hasrat seorang wanita untuk berkahwin dengan seorang remaja perempuan yang juga kekasihnya tidak kesampaian apabila keluarga remaja itu curiga mendengar suaranya.

Kompas.com melaporkan, wanita itu yang dikenali sebagai NI, 25, turut mengupah satu pasangan berlakon sebagai ibu bapanya bagi meminang kekasihnya yang baru berusia 15 tahun.

Jurucakap polis Semidangaji, Bastari berkata, mereka kemudian datang ke rumah remaja itu di desa Nyiur Sayak di Ogan Komering Ulu, Sumatera Selatan untuk berjumpa keluarganya.

Difahamkan, pasangan berkenaan merancang untuk terus berkahwin sekiranya lamaran itu diterima dan keluarga remaja itu sudah membuat persiapan termasuk menyediakan jamuan.

“Bagaimanapun, ketika perjumpaan berkenaan keluarga remaja itu berasa pelik dan curiga apabila mendengar suara NI.

“Kerana curiga ibu bapa remaja itu memaksa NI pergi ke sebuah pusat kesihatan untuk memeriksa jantina kekasih anaknya itu.

“Suaranya seperti perempuan dan apabila dibuat pemeriksaan ternyata dia adalah perempuan,” katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan berkenalan di media sosial sebelum menjalinkan hubungan seperti pasangan kekasih.

“Selepas beberapa kali berjumpa, pasangan berkenaan mula merancang untuk berkahwin,” katanya.

Menurutnya, NI ditahan selepas kejadian itu tetapi dibebaskan selepas dia meminta maaf dan keluarga remaja berkenaan turut menarik balik laporan terhadapnya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 7:55am
d