global

Sekat pelancong ke Papua

Oleh AFP

JAKARTA: Indonesia mengenakan sekatan terhadap pelancong asing ke wilayah bergolak Papua selain empat warga Australia dihantar pulang kerana didakwa menyertai bantahan menuntut kemerdekaan.

Menteri Keselamatan Indonesia, Wiranto berkata, mereka melakukan sekatan itu sebagai langkah keselamatan serta menghalang penghasut yang cuba membuat kacau.

“Kita akan mengenakan sekatan sementara di Papua. Namun ia tidak bermakna kami tidak membenarkan pengunjung masuk tetapi ia akan ditapis berdasarkan faktor keselamatan,” katanya.

Selain itu katanya, ia juga bagi melindungi pelancong asing daripada menjadi mangsa dalam rusuhan.

Semalam, kerajaan itu berkata, pihaknya menghantar pulang warga Australia terbabit kerana didakwa terbabit dalam bantahan dan mengibar bendera Papua.

Papua kembali bergolak baru-baru ini dipercayai berpunca daripada serangan perkauman terhadap sekumpulan penuntut mereka di Jawa.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 8:55pm
d