global

Duterte gesa 1,700 bekas banduan serah diri

Oleh Reuters

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mahu 1,700 banduan yang dibebaskan kerana berkelakuan baik sebelum ini, dipenjara semula selepas mempersoalkan pembebasan mereka sama ada sah di sisi undang-undang.

Duterte berkata, mereka yang sebahagiannya dipenjara atas jenayah rogol dan bunuh itu diberi masa 15 hari untuk menyerah diri atau dianggap sebagai orang buruan.

“Jika saya di tempat anda, saya akan menyerah diri. Saya menawarkan ganjaran 1 juta peso (RM80,827) setiap seorang, sama ada hidup atau mati,” katanya.

Duterte mendesak ketua penjara meletak jawatan dan menuduhnya tidak patuh kepada arahan supaya tidak membebaskan banduan yang disabitkan dengan kesalahan jenayah itu.

Ahad lalu, Senator Franklin Drilon berkata, hampir 2,000 banduan yang menerima hukuman penjara seumur hidup sudah dibebaskan mengikut peruntukan undang-undang pada 2014.

Bagaimanapun katanya, arahan itu tidak sah kerana tidak diluluskan Setiausaha Jabatan Keadilan.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 9:44pm
d