global

Bangkok paling popular, Kuala Lumpur kelima

Oleh Reuters

BANGKOK: Ibu negara Thailand, Bangkok, mengatasi Paris dan London sebagai bandar raya paling popular untuk dikunjungi tahun ini, menerajui senarai untuk tahun keempat berturut-turut.

Menurut hasil tinjauan MasterCard Inc yang dikeluarkan semalam, kira-kira 22.8 juta pelancong mengunjungi Bangkok manakala Paris dan London (19.1 juta) serta Dubai (15. juta).

Singapura berada di tangga keempat manakala Kuala Lumpur, kelima dalam senarai tinjauan itu yang dilakukan pihak ketiga serta data analisa hartanah dan maklumat awam meliputi 200 destinasi.

New York, Istanbul, Tokyo dan Antalya di Turkey turut berada dalam senarai 10 teratas.

Jumlah pelancong antarabangsa yang mengunjungi 200 bandar raya itu meningkat 76 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.

Pelancongan menyumbang 12 peratus kepada ekonomi Thailand.

Bagaimanapun, pertumbuhan lemah ekonomi China serta tragedi bot karam tahun lalu, menyebabkan penurunan pelancong dari China ke Thailand dalam separuh pertama tahun ini. Namun, ia diganti dengan peningkatan pelancong dari India.

Menurut Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Yuthasak Supasorn, negara itu dijangka menerima dua juta pelancong India pada 2019.

Ogos lalu, kerajaan Thailand menyambung kemudahan visa percuma bernilai 2,000 baht (RM273) untuk visa ketibaan bagi pelancong dari 18 negara, termasuk China dan India.

Pemerhati berpendapat pertambahan golongan pertengahan serta semakin banyak penerbangan tambang murah menyumbang kepada pertambahan pelancong.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 8:08am
d