global

Budak nazak dibakar pembuli

Oleh Agensi

SEORANG kanak-kanak berusia lapan tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami 35 peratus luka lecuran pada badannya akibat dibakar pembuli dari sekolahnya ketika dia sedang bermain berhampiran rumah.

Daily Mirror melaporkan, Kyrylo Yatsun dilaporkan sedang bermain di taman permainan berhampiran blok apartment kediamannya sebelum diserang sekumpulan kaki buli yang lebih tua daripadanya di Dnipro.

Suspek menyimbah petrol pada baju mangsa sebelum menyalakan pemetik api lalu membakarnya. Baju mangsa serta-merta terbakar dan dia menggelupur, menjerit kesakitan lalu terjatuh ke tanah sambil diketawakan suspek, menurut laporan.

Beberapa orang awam segera berlari membantu mangsa dan berjaya mencabut kemeja-T dipakai Kyrylo sebelum membawanya ke hospital.

Daily Mail melaporkan, Kyrylo ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menjalani beberapa pembedahan dan doktor terpaksa membuang kulit rosak dari bahagian kepala, tangan serta punggung.

Walaupun sudah 10 hari, doktor masih perlu memantau keadaan Kyrylo yang dilaporkan kritikal.

Doktor Artem Posunko berkata, Kyrylo sudah sedar dan boleh bercakap tetapi kecederaannya sangat serius dan masih boleh mengancam nyawa.

Sementara itu, ibu mangsa, Eugenia Yatsun berkata, anaknya diperlakukan begitu tanpa sebarang sebab. ‘Mereka bukan kanak-kanak sebaliknya raksasa.”

Jurucakap polis, Anna Starchevskaya berkata, mereka menjalankan siasatan dengan identiti suspek yang dikenali pasti disoal siasat polis.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 7:50am
d