global

Tidak menyesal suami terbunuh

Oleh Agensi

JAKARTA: Tidak tahan didera suami, termasuk dibiarkan kebuluran dan dipukul, seorang wanita di Riau, Indonesia mengupah dua pemuda untuk memukul lelaki itu tetapi suaminya maut selepas dibelasah mereka Sabtu lalu.

Kompas melaporkan, wanita berusia 45 tahun itu berkata dia tidak menyesal suaminya terbunuh kerana sudah lama sakit hati dengan ‘kekejaman’ Marison Simaremare, 47.

Dia bagaimanapun, memberitahu polis hanya berniat mencederakan lelaki itu hingga tidak dapat berjalan dan mengupah dua lelaki dengan bayaran 50,000 rupiah (RM15) seorang.

“Saya terlalu sakit hati, diberi makan dan minum sekali dalam dua minggu. Saya juga sering dipukul, malah hampir ditumbuk namun sempat mengelak,” katanya.

Menurut Ketua Polis Siak, Ahmad David, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi apabila dua pemuda terbabit memecah masuk ke rumah mereka ketika pasangan itu tidur dan memukul mangsa dalam keadaan gelap.

Ketika kejadian, wanita berkenaan membawa anaknya keluar dan bersembunyi dalam kebun kelapa sawit dan pulang semula selepas terdengar mangsa menjerit meminta tolong.

Dia yang melihat suami berlumuran darah menghantarnya ke hospital namun mangsa meninggal dunia pada jam 7 petang.

Wanita terbabit kemudiannya membuat laporan polis mendakwa mereka dirompak dua lelaki namun polis curiga apabila dia boleh mengecam suspek walaupun kejadian berlaku dalam gelap sebelum mengaku mengupah dua lelaki terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Resor Siak, Abdullah Hariri, berkata pihaknya sudah menahan tiga individu itu kerana melakukan penganiayaan terhadap mangsa hingga meninggal dunia.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 10:43am
d