global

Hezbollah tembak jatuh dron Isreal

Oleh AFP

BEIRUT: Pergerakan Hezbollah hari ini mendakwa menembak jatuh sebuah pesawat dron Israel yang melintasi sempadan Lubnan, seminggu selepas kedua-dua belah pihak berbalas serangan.

Hezbollah dalam satu kenyataan berkata, pejuangnya menggunakan senjata bersesuaian terhadap dron Israel yang menuju ke kampung Ramyeh, berhampiran sempadan.

“Dron itu kini di bawah penguasaan Hezbollah,” katanya.

Tentera Israel pula mendakwa sebuah dron miliknya terhempas di Lubnan tanpa secara terus menafikan dakwaan ia ditembak jatuh.

“Semalam, pada hari Ahad, sebuah dron milik tentera Israel jatuh di wilayah Lubnan. Tiada risiko mengenai kebocoran maklumat,” kata seorang jurucakap kepada AFP tanpa mengulas lanjut.

Kejadian itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak antara kedua-dua pihak hingga berbalas tembakan pada 1 September lalu.

Hezbollah melepaskan tembakan misil ke arah Israel memusnahkan sebuah kenderaan tentera dan mencederakan atau membunuh penumpang di dalamnya.

Israel membalas serangan itu dengan melepaskan 100 tembakan meriam ke arah sasaran Hezbollah.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 4:24pm
d