global

Pelekat laman web lucah di teksi tular di Singapura

Oleh Agensi

SINGAPURA: Seorang pemandu teksi diarah membuang pelekat laman web pornografi yang ditampal pada belakang keretanya selepas gambar kenderaan itu bersama pelekat berkenaan dimuat naik di laman Internet.

Akhbar Straits Times melaporkan, gambar itu tersebar sejak Khamis lalu, menunjukkan pelekat terbabit ditampal pada teksi Silvercab yang dikendalikan Premier Taxis.

Laman web pornografi itu dikatakan menghasilkan video lucah antara pemandu dan penumpang dalam teksi.

Menurut jurucakap Premier Taxis, syarikat terbabit sudah memanggil pemandu berkenaan mengarahkannya membuang pelekat itu serta menyiasat kejadian.

Bagaimanapun, menurut beberapa peguam, negara itu tidak mempunyai peraturan khas terhadap pemandu mengenai penggunaan pelekat kenderaan.

Gloria James-Civetta berkata, pelekat itu dianggap sebagai bahan iklan mengikut Akta Pengangkutan Jalan.

Menurutnya, akta itu hanya melarang pengendali pengangkutan awam memaparkan sebarang iklan sama ada di luar atau dalam kenderaan, tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Penggunaan pelekat kenderaan tidak tertakluk kepada sebarang peraturan kecuali apa yang dibenarkan untuk diiklankan pada teksi,” katanya.

Seorang lagi peguam, Amarick Gill berpendapat, penggunaan pelekat itu pada teksi tidak seharusnya dianggap sebagai satu isu.

“Pelekat yang menunjukkan laman web pornografi itu tidak dapat dilihat dengan jelas. Ia bukan dianggap sebagai fitnah atau lucah,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 6:50am
d