global

17 cedera dirempuh gajah [VIDEO]

Oleh Agensi

Colombo: Seramai 17 orang cedera selepas seekor gajah yang digunakan dalam satu majlis keagamaan tiba-tiba naik minyak dan merempuh pengunjung.

Dalam satu rakaman video yang tular, menunjukkan seorang lelaki menunggang seekor gajah di hadapan sekumpulan penari di jalan raya di Kotte pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, haiwan itu tiba-tiba naik minyak dan terus berlari serta merempuh penari dan orang ramai di depannya.

Lelaki yang menunggang gajah berkenaan cuba mengawal haiwan itu tetapi gagal sebelum dia terjatuh.

Keadaan itu menyebabkan penari dan orang ramai melarikan diri bagi mengelak dirempuh gajah berkenaan.

Tidak pasti apa yang menyebabkan gajah berkenaan ketakutan dan menyebabkan ia naik minyak.

Pihak berkuasa memberitahu, seramai 17 orang yang cedera dalam kejadian itu dirawat di hospital berhampiran.

Disiarkan pada: September 10, 2019 @ 12:38pm
d