global

'Blue girl' maut bakar diri dilarang masuk stadium

Oleh Agensi

TEHERAN: Seorang wanita yang juga peminat tegar bola sepak maut akibat membakar diri selepas ditahan kerana menyamar sebagai lelaki untuk memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan pasukannya.

Sahar Khodayari, 29, membakar dirinya di depan mahkamah di Teheran, minggu lalu, selepas dimaklumkan dia mungkin dipenjara enam bulan kerana cuba memasuki Stadium Azadi untuk menyaksikan pasukan disokongnya, Esteghlal FC melawan pasukan Emiriah Arab Bersatu, Al Ain ketika perlawanan kejuaraan AFC.

Dia dikejarkan ke hospital dengan lecuran teruk pada 90 peratus badannya selain kerosakan terhadap paru-paru sebelum disahkan meninggal dunia pada lewat Isnin, lapor Al Jazeera.

Sahar yang digelar ‘Blue Girl’ (gadis biru) di Internet kerana warna jersi dipakai pasukan Esteghlal ditahan pada Mac lalu.

Memandangkan tiada undang-undang melarang wanita memasuki stadium, dia didakwa gagal menutup aurat.

Wanita itu mengenakan cat biru pada wajah dan memakai kot labuh untuk menyerupai lelaki tetapi ditahan pengawal keselamatan di pintu masuk, lapor CNN.

Keluarganya membayar jaminannya sehari kemudian, namun dia terpaksa duduk dalam lokap selama tiga hari berikutan hujung minggu.

Beberapa kelab bola sepak termasuk Esteghlal dan kelab Itali, Roma mengucapkan takziah kepada keluarga Sahar.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 7:50am
d