global

Maut tersepit di tingkap kereta

Oleh Agensi

MINSK: Seorang ibu muda yang sepatutnya menyambut hari lahir ke-21 mati dalam keadaan tragik selepas lehernya tersepit pada tingkap kereta, dalam kejadian di Staroe Selo, Belarus.

Daily Mail melaporkan, kejadian berlaku pada 31 Ogos lalu ketika Yulia Sharko ingin mengambil keluar anak perempuan berusia dua tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan menerusi tingkap berkenaan.

Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit secara tidak sengaja menekan butang automatik lalu menyebabkan ibunya tersepit hingga tidak sedarkan diri.

Suaminya, Arthur yang melihat kejadian itu terus memecahkan cermin lalu menarik mangsa sebelum dihantar ke hospital.

Media tempatan melaporkan, Yulia meninggal dunia selepas lapan hari terlantar di hospital akibat asfiksia hingga mengalami kerosakan pada otak.

Jurucakap Jawatankuasa Siasatan Belarus, Dmitry Ivanyuk berkata, mangsa sudah berada dalam keadaan nazak ketika dihantar ke hospital wilayah Brest.

“Dia ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya selepas lehernya tersepit pada tingkap kereta dan terus dihantar ke hospital namun keadaannya agak teruk ketika itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2019 @ 1:49am
d