global

Trump sahkan anak Osama terbunuh

Oleh AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengesahkan Hamza bin Laden, anak lelaki pengasas Al-Qaeda, Osama bin Laden, terbunuh dalam satu operasi memerangi pengganas di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan.

“Kehilangan Hamza bin Laden bukan sahaja menghalang kemahiran kepimpinan penting dan hubungan simbolik dengan bapanya malah menjejaskan aktiviti operasi utama kumpulan itu,” kata Trump menerusi kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.

Awal Ogos lalu, media AS memetik pegawai perisikan berkata, Hamza terbunuh sekitar dua tahun lalu dalam satu operasi membabitkan AS.

Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper mengesahkan kematian Hamza bulan lalu, mengatakan, dia difahamkan Hamza sudah mati, tetapi Trump dan pegawai kanan lain tidak mengesahkannya secara terbuka.

Hamza, anak ke-15 daripada 20 adik beradik adalah anak Osama bersama isteri ketiganya. Hamza yang berusia sekitar 30 tahun, muncul sebagai pemimpin dalam rangkaian Al-Qaeda, kata Jabatan Negara AS ketika mengumumkan ganjaran AS$1 juta (RM4.17 juta) untuk kepalanya pada Februari 2019, mungkin selepas kematian sebenarnya.

Disiarkan pada: September 14, 2019 @ 11:19pm
d