global

Baru nak aman...

Oleh AFP

HONG KONG: Selepas beberapa hari tenang, Hong Kong kembali kecoh hari ini apabila polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah kumpulan perusuh melempar batu dan bom petrol.

Ratusan ribu penunjuk perasaan tanpa menghiraukan arahan polis berarak menuju jalan utama, iaitu siri terbaru dalam bantahan yang sudah tercetus sejak 99 hari lalu.

Perarakan terbabit bertukar ganas apabila sekumpulan kecil aktivis tegar yang terkenal dengan gerakan berani cuba menyerang kompleks utama kerajaan.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menggerakkan trak meriam air selepas peserta bertindak melempar bom api dan batu ke arah penghadang keselamatan.

Hab antarabangsa yang satu ketika dulu sentiasa tenang kini diselubungi perhimpunan ganas menuntut pembaharuan demokrasi dan sifat lebih bertanggungjawab oleh anggota polis.

Gerakan terbabit adalah cabaran terbesar China sejak bandar itu diserahkan semula oleh kerajaan British pada 1997.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani bersama Britain sebelum penyerahan, Hong Kong dibenarkan mengamalkan kebebasan unik mereka selama 50 tahun.

Bagaimanapun, aktivis demokrasi menuduh Beijing melanggar janji itu dengan mengetatkan kawalan politik ke atas wilayah separuh autonomi terbabit.

Disiarkan pada: September 15, 2019 @ 8:25pm
d