global

Dendam tuala wanita

Oleh Agensi

KUPANG, INDONESIA: Seorang ibu tergamak menyembelih dua anak kembarnya yang berusia lima tahun semata-mata terlalu kecewa dengan suaminya enggan memberi wang untuk membeli tuala wanita.

Selepas membunuh dua anak kembarnya, Dewi Regina Ano cuba membunuh diri dengan menikam perut dan mengelar lehernya dengan menggunakan parang.

Kompas.com melaporkan, Dewi, 24, ditemui tidak sedarkan diri bersama mayat dua anaknya, Angga Masus dan Angkri Masus di sebuah bilik pekerja hotel di Oesapa Barat pada 5 September lalu.

Pada mulanya polis mengesyaki tiga beranak itu diserang tetapi selepas beberapa hari dirawat di hospital, Dewi mengaku bertanggungjawab membunuh anaknya.

Jurucakap polis Kupang, Bobby Mooy Nafi memberitahu, Dewi membunuh anaknya kerana mahu membalas dendam terhadap suaminya yang sering mengabaikan dan mendera mereka.

“Wanita ini mengaku suaminya tidak pernah memenuhi kehendaknya sebagai isteri dan kurang memberi perhatian kepadanya serta anak-anaknya.

“Suspek bertambah kecewa kerana suaminya langsung tidak mahu memberi wang termasuk membelikan tuala wanita untuknya pada setiap bulan,” katanya.

Bobby berkata, motif pembunuhan kejam itu adalah dendam si isteri yang terlalu mendalam hingga dia sanggup mengorbankan anaknya sendiri.

“Ketika disoal siasat Dewi mengaku bersalah dan dia menangis tidak berhenti-henti,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 7:56am
d