global

Selamat tinggal Chuang Chuang

Oleh AFP

BANGKOK: Seekor beruang panda jantan yang dipinjamkan China kepada Thailand mati pada usia 19 tahun di sebuah zoo di Chiang Mai, selatan negara itu hari ini.

Panda yang dinamakan Chuang Chuang dan beruang betina, Lin Hui dipinjamkan ke Zoo Chiang Mai pada Oktober 2003 serta ditempatkan dalam kandang berhawa dingin.

Haiwan itu menjadi mula menjadi perhatian orang ramai kerana ia enggan mengawan hingga pihak zoo terpaksa menayangkan video panda mengawan untuk merangsang keinginan seksnya.

Selepas gagal mengawan, Lin Hui akhirnya bunting menerusi proses permanian berhadas dan melahirkan anak pada 2009 yang disiarkan secara langsung selama 24 jam.

Berita kematian Chuang Chuang menyebabkan ramai rakyat Thailand terkejut dan melahirkan kesedihan mereka di media sosial.

“Ia sangat comel. Berehatlah beruang kecil,” kata pengguna Twitter, @Janekwb.

Pengarah Zoo Chiang Mai, Wutthichai Muangmun berkata, sebelum kematiannya, Chuang Chuang melakukan aktiviti yang paling disukainya iaitu makan buluh.

“Ia kemudiannya berjalan-jalan sebelum kelihatan terhuyung-hayang sebelum terjatuh,” katanya kepada wartawan.

Ujarnya, setiap panda itu diinsuranskan sebanyak 15 juta baht (RM2.05 juta) mengikut perjanjian dengan China.

Haiwan itu adalah sebahagian daripada program yang dikenali sebagai diplomasi panda dan dipulangkan semula kepada China pada 2023.

Panda adalah antara haiwan terancam di dunia dan mempunyai jangka hayat 15 hingga 20 tahun di hutan tetapi boleh hidup hingga usia 30 tahun di dalam kurungan.

Disiarkan pada: September 17, 2019 @ 6:38pm
d