global

Juruterbang tidak dibenar masuk pesawat

Oleh Agensi

HO CHI MINH CITY: Satu penerbangan dari Ho Chi Minh City, Vietnam ke Incheon, Korea Selatan, terpaksa ditangguhkan selama 11 jam kelmarin, kerana juruterbang tidak dibenar masuk ke dalam pesawat selepas dia kehilangan pasport.

News.com.au yang memetik Korea Times melaporkan, syarikat penerbangan Korea, T’way Air, menyatakan kelewatan itu disebabkan seorang juruterbang kehilangan pasport dan justeru dia dihalang untuk masuk ke dalam kawasan lapangan terbang.

Berikutan itu, 160 penumpang terpaksa turun dari pesawat dan bermalam di ibu kota Vietnam itu sebelum terbang keesokan harinya.

T’way Air menyediakan hotel penginapan bersama sarapan untuk penumpang terbabit sementara mendapatkan pengganti juruterbang manakala juruterbang berkenaan bakal dikenakan tindakan disiplin.

“Kami sedang mengkaji tindakan terhadap juruterbang berkenaan dan menyiasat bagaimana juruterbang itu boleh kehilangan pasportnya.

“Pampasan akan diberi kepada penumpang,” kata jurucakap T’way Air.

Dalam kejadian membabitkan syarikat penerbangan tambang murah Britain, EasyJet, bulan lalu, sebuah pesawat ke Sepanyol dari Manchester terkandas dua jam, tidak dapat berlepas kerana ketiadaan juruterbang akibat kesilapan jadual bertugas.

Berikutan itu, seorang juruterbang syarikat itu yang tidak bertugas dan menjadi penumpang pesawat berkenaan, menawarkan diri untuk menerbangkannya.

Pihak syarikat membenarkannya kerana beliau membawa lesen penerbangan dan sudah mendapat rehat mencukupi yang mendapat sambutan baik penumpang.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 6:59am
d