global

Iran serang dari Iraq

Oleh Agensi

BEIRUT: Sumber perisikan Iraq menyatakan serangan yang melumpuhkan pengeluaran minyak Arab Saudi Ahad lalu, dilakukan menggunakan dron Iran, dipercayai yang dilancar dari Hashd al-Shaabi di selatan Iraq.

Menurut laporan Middle East Eye (MEE), pegawai itu enggan menyatakan pangkalan digunakan untuk melancarkan dron terbabit namun beliau mengesahkan jarak antara selatan Iran dengan loji penapis Abqaiq dan telaga minyak Khurais itu separuh berbanding jika dron diterbangkan dari utara Yaman.

Menurutnya, dron terbabit terbang sejauh antara 500 hingga 600 kilometer berbanding 1,100 kilometer jika dilancarkan dari pangkalan pemberontak Houthi di Yaman.

Kelmarin, Reuters melaporkan Amerika Syarikat yang mengemukakan gambar satelit sebagai bukti menyatakan arah kerosakan di Abqaiq menunjukkan serangan dilancarkan dari arah Iran, bukannya Yaman.

Semalam, AFP melaporkan Presiden Amerika, Donald Trump, berkata: “Sudah pasti, serangan itu dilakukan Iran.”

Menurut Trump, beliau tidak mahu terbabit dalam konflik ‘namun ada waktu ia perlu.’

“Ia serangan besar dan mungkin dibalas dengan serangan lebih besar,” katanya di Washington.

Di Riyadh, pegawai Arab Saudi mengesahkan senjata buatan Iran digunakan dalam serangan itu

Menurut MME, laluan penerbangan dron terbabit dari Iraq ke timur Arab Saudi akan melalui laut atau ruang udara Kuwait.

Pemberontak Houthi mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu namun pegawai perisikan Iraq menegaskan: “Bukan Houthi. Ia dron Iran yang dilancarkan dari Hashd al-Shaabi.”

Seperti di Syria dan Lubnan, Iran mempunyai proksi di Iraq dan membekalkan kemudahan, termasuk senjata kepada kumpulan Syiah di negara itu.

Beberapa jam selepas serangan itu, kerajaan Iraq terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan dron dalam serangan itu datang dari wilayahnya.

Sejak berapa bulan lalu, Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul Mahdi, berusaha sedaya upaya mengelak negaranya daripada menjadi medan perang proksi antara Amerika dengan Iran.

Laporan menyatakan serangan itu dikesan dari arah Iraq dan Kuwait dan pakar ketenteraan tidak yakin pemberontak Houthi mempunyai teknologi untuk melancarkan serangan yang amat jauh itu dengan tepat.

Malah, Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo yang menegaskan Iran melakukan serangan itu berkata, tiada bukti menunjukkan serangan datang dari Yaman.

Pada masa sama, pakar ketenteraan sedang meneliti serangan itu menggunakan peluru berpandu berikutan penemuan komponen senjata itu yang jatuh di padang pasir di sempadan Kuwait.

Mereka sedang meneliti peluru berpandu itu ditembak dari Iran atau sekutunya di Iraq.

Disiarkan pada: September 18, 2019 @ 7:33am
d