global

Hidup atau mati

Oleh AFP

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran lebih seribu bekas banduan ganas yang dibebaskan awal menerusi satu undang-undang kontroversi akan ditangkap hidup atau mati sekiranya mereka tidak menyerah diri selewat-lewatnya hari ini.

Filipina berusaha mengesan bekas banduan termasuk perogol dan pembunuh yang dibebaskan mengikut satu undang-undang yang dianggap Duterte disalah guna atau kemungkinan berlakunya unsur rasuah.

Pada awal bulan ini Duterte menetapkan 19 September ini sebagai tarikh akhir untuk bekas banduan itu menyerah diri atau berdepan akibatnya dan pihak berkuasa juga mengumumkan ganjaran 1 juta peso (RM80,195) menangkap mereka.

“1 juta peso adalah hadiah kepada sesiapa yang menangkap mereka hidup atau mati.

“Mungkin mati lebih baik. Saya akan membayarnya sambil tersenyum,” katanya.

Hampir 2,000 banduan dibebaskan sejak beberapa tahun lalu selepas satu undang-undang membolehkan hukuman mereka dipendekkan

kerana berkelakuan baik.

Undang-undang itu dikuatkuasakan pada 2014, dua tahun sebelum Duterte dipilih sebagai presiden.

Bagaimanapun, pada bulan lalu tersebar berita mengenai bekas datuk bandar, Antonio Sanchez yang dipenjarakan pada 1990-an kerana membunuh dan merogol mungkin dibebaskan kerana berkelakuan baik.

Duterte berang dengan laporan itu memecat ketua penjara dan berkata: “Rekod menunjukkan ada salah laku dan mungkin rasuah.”

Menurut polis, seramai 400 bekas banduan menyerah diri sejak dua minggu lalu dan arahan pembebasan awal mereka akan disemak semula oleh pihak berkuasa.

Disiarkan pada: September 19, 2019 @ 8:06am
d