global

Area 51 kena serbu

Oleh Reuters

LAS VEGAS: Sekumpulan besar peminat teori konspirasi makhluk asing menyerbu kawasan Area 51 di luar Nevada, Las Vegas semalam untuk menyertai acara ‘Storm Area 51, They Can’t Stop All of Us’ selepas jemputan itu tular di Facebook.

Reuters melaporkan, kumpulan terbabit sanggup turun sekitar awal pagi ke bandar terpencil, Rachel yang terletak di kawasan padang pasir tidak jauh dari kem tentera rahsia di situ.

Pada masa sama, pihak tentera turut meningkatkan keselamatan di sekitar di kawasan itu untuk mempertahankannya daripada diceroboh.

Ia turut mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa tempatan apabila lebih sejuta orang dikatakan berminat untuk hadir termasuk mereka yang sudah pun ‘berkampung’ di situ.

Persembahan muzik dijadualkan berlangsung selama dua hari dan sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada perarakan besar turut dilakukan ke kawasan Area 51 hari ini.

Kem tentera itu diselubungi rahsia sejak beberapa dekad lalu dan terdapat teori konspirasi mendakwa ia digunakan untuk menyimpan pesawat UFO dan makhluk asing yang terhempas selepas satu objek aneh terbang di Roswell, New Mexico pada 1947.

Kerajaan Amerika Syarikat tidak pernah mengesahkan kewujudan kem itu sehingga 2013 apabila bahan arkib yang didedahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengatakan kawasan itu digunakan untuk menguji pesawat pengintip.

Disiarkan pada: September 20, 2019 @ 1:18pm
d