global

Ibu kerah anak mengemis

Oleh Agensi

JAKARTA: Lima wanita yang juga ibu kepada 20 kanak-kanak, ditahan polis di wilayah Medan Helvetia selepas mengarahkan anak-anak mereka bekerja sebagai peminta sedekah.

Tribunnews melaporkan, polis menemui 20 kanak-kanak itu mengemis di beberapa kawasan di Medan.

Seorang wanita, Jeni dipetik Kompas berkata, dia membiarkan anaknya mengemis kerana kemiskinan.

Seorang lagi ibu, Rini Sibuea pula mengaku mengemis selama enam bulan selepas kematian suaminya.

“Adakalanya saya mendapat sehingga RP50,000 (RM14.82) tetapi pernah juga tidak mendapat apa-apa. Saya mempunyai hutang yang banyak, terpaksa buat kerja ini untuk membayarnya.

“Saya tidak berikan wang hasil mengemis kepada sesiapa pun kerana kos pergi dan pulang sahaja RP15,000 (RM4.50).

“Saya lakukan semata-mata mahu membiaya hidup kami sekeluarga dan untuk membayar perbelanjaan sekolah,” katanya.

Pesuruhjaya Polis Kanan Medan, Dadang Hartanto berkata, penangkapan berkenaan hasil aduan masyarakat setempat apabila kanak-kanak seawal satu hingga lima tahun turut dijadikan pengemis.

“Sebahagian besarnya berusia belasan tahun atau masih bersekolah rendah dan menengah.

“Hasil pemerhatian polis, kanak-kanak itu aktif mengemis pada waktu malam dari 8.00 sehingga jam 10.30, sehingga mampu memperoleh sekitar RP40,000 (RM11.86) hingga RP50,000 (RM14.82).

“Seorang kanak-kanak tidak seharusnya berada di luar rumah pada waktu berkenaan apatah lagi mempergunakan dan mengeksploitasi mereka sebagai pengemis,” kata Dadang.

Disiarkan pada: September 21, 2019 @ 11:37pm
d