global

Maaf, tiada Stealth Bomber di Area 51

Oleh Reuters

WASHINGTON: Unit tentera Amerika Syarikat, Perkhidmatan Pengedaran Maklumat Visual Pertahanan (DVIDS) memohon maaf di atas kenyataannya akan menggunakan jet Stealth Bomber terhadap pemuda yang cuba menceroboh masuk kawasan Area 51 di Nevada.

Kenyataan menerusi Twitter rasmi DVIDS kelmarin mensasarkan peminat makhluk asing dan individu ingin tahu yang membanjiri Nevada pada minggu ini, selepas satu kempen ‘menyerbu’ pangkalan tentera Amerika Syarikat itu disiarkan di media sosial.

Pangkalan itu dikatakan menyimpan rahsia kerajaan mengenai makhluk asing dan kapal angkasa.

DVIDS turut sertakan gambar anggota tentera berdiri di hadapan jet Stealth Bomber B-2 dalam kenyataan itu.

“Benda terakhir golongan ‘millennia’ akan melihat sekiranya mereka cuba menyerbu Area 51 hari ini,” tulisnya.

Namun status itu sudah dipadamkan dan semalam, DVIDS menerusi Twitter berkata, kenyataan itu kurang sesuai dan memohon maaf atas kesilapan mereka.

Kelmarin, sekitar 150 orang dengan segelintir berpakaian makhluk asing berkumpul berhampiran pangkalan tentera itu dan hanya beberapa tangkapan dilakukan.

Disiarkan pada: September 22, 2019 @ 10:27am
d