global

20 korban rusuhan di Papua

Oleh AFP

WAMENA, Indonesia: Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam rusuhan terbaru di wilayah autonomi Papua semalam, dengan ramai mangsa rentung dalam bangunan dibakar perusuh.

Jurucakap tentera Indonesia di Papua, Eko Daryanto, berkata malam tadi: “Sebahagian besar daripada mereka mati dalam kebakaran.

“Jumlah kematian boleh meningkat kerana ramai terperangkap dalam bangunan yang terbakar.”

Papua Indonesia yang terletak di sebelah barat pulau New Guinea dicengkam rusuhan sejak bulan lalu, membantah layanan berunsur perkauman serta hasutan oleh gerakan pemisah.

Menurut pihak berkuasa, 16 terbunuh di Wamena apabila ratusan perusuh membakar bangunan kerajaan serta bangunan lain.

Antara mangsa ialah 13 bukan penduduk Papua dan tiga penduduk wilayah itu.

Menurut Daryanto, seorang tentera dan tiga orang awam terbunuh di bandar utama wilayah itu, Jayapura, apabila polis bertempur dengan penunjuk perasaan yang melontar batu.

Tentera terbabit mati akibat ditikam penunjuk perasaan dan sehingga kini, masih belum dapat dipastikan punca kematian tiga orang awam itu namun tentera dilaporkan melepaskan tembakan amaran.

Daryanto berkata, kira-kira 300 orang ditahan dan 65 cedera.

Rusuhan yang tercetus di Wamena disertai ratusan pelajar kolej dikatakan akibat komen perkauman oleh guru namun menurut polis, komen berkenaan adalah palsu.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 9:49pm
d