global

Demi Moore dilacurkan ibunya ketika remaja

Oleh Agensi

WASHINGTON: Pelakon Demi Moore mendedahkan dirogol lelaki yang membayar ibunya AS$500 (RM2,090) ketika dia berusia 15 tahun pada program bual bicara Good Morning America, hari ini.

Moore, 56, menceritakan pengalaman pahit itu kepada pengacara Diane Sawyer ketika mempromosi buku memoir, Inside Out pada program berkenaan.

Ketika remaja, Moore berkata ibunya, Virginia King sering membawa dia ke bar untuk mencari lelaki, lapor Daily Mail.

Menurut pelakon itu, kejadian dia dirogol berlaku selepas mereka berpindah ke Hollywood.

Bekas isteri pelakon Ashton Kutcher itu berkata dia pulang ke rumah dan mendapati seorang lelaki menunggunya.

“Selepas itu, dia tanya apakah perasaan dijual sebanyak AS$500. Saya dikhianat dengan teruk,” katanya.

Ketika berusia 16 tahun, Moore berpindah keluar dari rumahnya dan mula menceburi bidang lakonan.

Bapa kandung Moore meninggalkan ibunya sebelum dia lahir di New Mexico.

Dia hanya menyedari suami kedua ibunya, Dan Guynes bukan bapa kandungnya selepas menemui sijil lahirnya pada usia 13 tahun.

Pasangan terbabit adalah kaki botol dan ibunya pernah beberapa kali cuba bunuh diri.

Dalam bukunya, Moore turut menceritakan pernah menyelamatkan ibunya dengan mengeluarkan pil dari dalam mulut wanita itu dengan jarinya.

Disiarkan pada: September 23, 2019 @ 11:10pm
d