global

12 dibunuh pemberontak di Mozambique

Oleh AFP

MAPUTO: Seramai 12 orang maut dalam serangan dilakukan kumpulan yang disyaki pemberontak di utara Mozambique, semalam.

Pegawai penguatkuasa tempatan Assane Issa berkata, seramai 10 penduduk dibunuh di kampung Mbau di daerah Mocimbao da Praia dan rumah penduduk termasuk pejabat Parti Frelimo dibakar.

“Pemberontak masuk kampung dan terserempak dengan sekumpulan pemuda yang meneguk minuman keras.

“Ramai dibunuh dan penduduk kampung melarikan diri ke dalam hutan,” katanya kepada AFP hari ini.

Menurut Issa, penyerang meninggalkan lokasi selepas tembak-menembak dengan polis dan pertempuran tamat sekitar jam 1 pagi.

Terdahulu, kumpulan sama membunuh dan memenggal kepala dua lelaki di ladang ketika menyerang sebuah kampung di Mindumbe.

Sekurang-kurangnya 300 orang awam terbunuh, manakala puluhan ribu orang terpaksa melarikan diri disebabkan serangan kumpulan pemberontak di Utara Mozambique sejak hampir dua tahun lalu.

Disiarkan pada: September 24, 2019 @ 9:59pm
d