global

Air mata kristal

Oleh Agensi

YEREVAN (ARMENIA): Seorang ibu muda yang menangis ‘air mata kristal’ membuatkan doktor di wilayah Syunik, Armenia kebingungan seterusnya mengkaji kejadian pelik yang menimpanya.

Daily Mail melaporkan, Satenik Kazaryan, 22, dari pedalaman Spandaryan, mengeluarkan sekurang-kurangnya 50 air mata bergerigi sehari apabila menangis.

Keadaan itu amat menyeksakan malah wanita berkenaan menganggap hidupnya kini tak ubah seperti ‘neraka.’

Menurut Satenik kejadian itu mula disedarinya selepas dia mendapatkan rawatan doktor gigi apabila sesuatu seperti habuk masuk ke dalam matanya.

Saudaranya, Svetlana Avagyan berkata: “Selepas kami keluarkan kristal pertama dari matanya, kami fikir dia terkena kaca yang masuk ke dalam matanya semasa bekerja di ladang. Tetapi rasa sakit itu masih berterusan dan dia keluarkan lebih banyak kristal dari matanya.

“Kami terpaksa membawanya berjumpa doktor namun doktor tidak percayakan kami kerana tiada seorang pun di sini yang pernah melihat sesuatu seperti itu.”

Rawatan pertama pada mulanya dilihat membantu tetapi dia kini semakin kerap menangis air mata kristal seperti ditunjukkan melalui rakaman video, lapor Daily Mail.

“Semua doktor terkejut melihat air mata menjadi kristal. Mereka tidak pernah melihat kejadian berkenaan dan tidak tahu bagaimana mahu merawatnya malah tiada diagnosis mengenainya,” kata ibu kepada seorang anak itu.

Pakar oftalmologi Russia, Tatyana Shilova berkata, keadaan menimpa Satenik sangat luar biasa tetapi bukan sesuatu yang unik, lapor REN TV.

Katanya, dalam keadaan tertentu, ia sama ada penyakit genetik atau keradangan mata tetapi boleh berlaku pada keseluruhan badan.

“Di dalam air mata wujudnya protein, lemak dan elemen mikro yang mempunyai komposisi ionik tertentu.

“Air mata kristal mungkin menjadi tanda masalah lain. Kristal tidak hanya muncul dari membran mukus mata tetapi ia juga membentuk di dalam hati, buah pinggang berupa garam dalam organ.

“Ia dianggap berbahaya kepada individu berkenaan dan memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 11:30am
d