global

Dihukum mati bunuh isteri, anak tiri

Oleh Reuters

TEXAS: Seorang lelaki berumur 45 tahun yang disabitkan menikam isteri dan dua anak lelaki tirinya serta menyerang secara seksual dua anak tiri perempuannya di rumah mereka pada 2007 dijadualkan menjalani hukuman mati di Texas, hari ini.

Robert Sparks menghadapi hukuman mati dengan suntikan maut pada 6 petang (waktu tempatan) di Huntsville. Juri Dallas bersepakat hukuman itu selepas Sparks membunuh isterinya Chare Agnew dan anak-anak tirinya Harold, 9, dan Raekwon, 10.

Sparks dituduh menikam Agnew sebanyak 18 kali ketika mangsa tidur di rumah mereka di Dallas sebelum mengejutkan dua anak lelaki tiri, mengajak mereka ke dapur dan menikamnya sehingga mati.

Menurut dokumen mahkamah, Sparks kemudian mengejutkan dua anak perempuan tirinya LaKenya Agnew, 14, dan Garysha Brown, 12. Selepas mengikatnya, dia menyerang mereka secara seksual sambil memberitahu bahawa ibu remaja itu cuba meracunnya.

Sparks mengunci anak-anak tirinya di dalam almari dan meninggalkan rumah itu. Dia singgah di rumah ibunya untuk meminjam kereta dan mengaku membunuh isteri dan anak lelaki tirinya selepas menemui bekas teman wanitanya. Dia juga memberitahu polis dan mengaku perbuatan jenayah itu.

Selepas melarikan diri selama beberapa hari ke Austin, Sparks ditahan polis ketika kembali ke Dallas. Dia memberitahu polis isterinya meracunnya lalu menyediakan sampel darah, rambut dan kuku untuk meneliti bukti keracunan, tetapi penyiasat tidak dapat mencari makmal yang boleh membuat ujian itu, menurut kertas mahkamah.

Sparks adalah banduan ke-16 di Amerika Syarikat dan ketujuh di Texas yang menjalani hukuman mati pada tahun ini, menurut Pusat Maklumat Penalti Kematian.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 9:29pm
d