global

4 maut, gempa bumi di pulau Maluku

Oleh AFP

KOTA AMBON: Empat orang terbunuh susulan gempa bumi melanda pedalaman di pulau Maluku, hari ini, yang memusnahkan kediaman dan menyebabkan tanah runtuh.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Alam Kebangsaan dan pejabat pasukan mencari dan menyelamat, dua orang terbunuh kerana dihempap serpihan runtuhan, seorang lagi tertimbus dalam runtuhan dan seorang wanita maut selepas terjatuh daripada motosikal ketika mahu menyelamatkan dirinya ke kawasan tinggi.

AFP melaporkan, gempa berukuran 6.5 magnitud melanda sekitar 8.45 pagi waktu tempatan membuatkan penduduk yang panik melarikan diri ke jalan raya ketika beberapa bangunan runtuh di sekitar mereka.

“Impak gegaran dapat dirasai merentas Kota Ambon dan sekitarnya. Ramai penduduk terjaga kerana gegaran itu seperti lori sedang lalu,” kata Ketua Bahagian Gempa Bumi dan Tsunami di Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Rahmat Triyono.

Tinjauan oleh Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku kira-kira 37 kilometer di timur laut Ambon, wilayah Maluku, pada kedalaman 29 kilometer.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 5:14pm
d