global

Diiktiraf selepas dedah mafia

Oleh AFP

NEW YORK: Wartawan Itali yang diserang kerana membuat liputan kegiatan mafia di Sicily dan kini berada di bawah perlindungan polis, menerima Anugerah Peter Mackler atas penulisannya.

Paolo Borrometi, 36, wartawan agensi Itali, AGI, menulis berita mengenai peranan jenayah terancang dalam perniagaan agribisnis tempatan di laman web La Spia pada 2013.

Pada tahun berikutnya, dia diserang dua lelaki bertopeng sehingga mencederakan bahunya menyebabkan dia meninggalkan Sicily dan berhijrah ke Rome dan berada di bawah perlindungan polis.

Rumah ibu bapanya di bandar Modica turut menjadi sasaran penjenayah.

“Saya takut jika mati. Memang benar. Saya tidak tahu sama ada sempat mempunyai keluarga atau anak.

“Tetapi saya impikan untuk menjadi wartawan, mempertahankan impian itu dan kini saya seorang wartawan,” kata Borrometi, selepas menerima anugerah di City University of New York.

Borrometi turut mendedikasikan hadiah itu kepada tiga wartawan yang terbunuh semasa bekerja iaitu wartawan penyiasat dari Malta, Daphne Caruana Galizia dan dua wartawan dari Itali, Antonio Megalizzi dan Giulio Regeni.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 6:29pm
d