global

Arab Saudi tawar visa pelancong

Oleh AFP

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi hari ini mengumumkan pengeluaran visa pelancong yang pertama kali ditawarkan di negara sebagai usaha mempelbagaikan ekonominya selain minyak.

Industri pelancongan adalah antara agenda utama program pembaharuan Visi 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai persediaan untuk ekonomi terbesar rantau Arab itu berdepan zaman selepas era minyak.

Pengumuman dibuat dua minggu selepas serangan ke atas infrastruktur minyak Arab Saudi, yang didakwa Washington didalangi Iran, yang menjejaskan pasaran tenaga global.

“Membuka Arab Saudi kepada pelancong antarabangsa adalah saat bersejarah bagi negara kita.

“Pelancong akan terkejut dengan khazanah yang kita perlu kongsi, lima Tapak Warisan Dunia UNESCO, kebudayaan tempatan yang menarik, dan pemandangan semula jadi indah,” kata ketua sektor pelancongan, Ahmed al-Khateeb, dalam satu kenyataan.

Bloomberg News memetik Khateeb sebagai berkata, Arab Saudi akan membuka permohonan visa pelancongan atas talian bagi rakyat di 49 negara bermula esok.

Katanya, negara itu juga akan melonggarkan kod berpakaian bagi wanita asing, membenarkan mereka keluar tanpa memakai abaya yang masih menjadi mandatori kepada wanita tempatan.

Bagaimanapun, wanita asing perlu mengenakan pakaian sopan.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 10:20am
d