global

Terjun demi maruah

Oleh Agensi

JAKARTA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun nekad melompat dari motosikal untuk mengelak dicabul bapa tiri yang sering melakukan perbuatan terkutuk itu dengan restu ibu mangsa sendiri.

Tribunnews melaporkan, Bunga (bukan nama sebenar) bertindak meloncat dari motosikal ketika bapa tirinya bernama A, 50, kononnya mahu menghantarnya ke sekolah di Samarinda, Kalimantan Timur.

Bunga sering dibawa suspek ke sebuah hotel dan dicabul sebelum dihantar ke sekolah malah media melaporkan perbuatan itu dengan restu ibu kanak-kanak malang berkenaan dikenali sebagai S, 42, kerana bimbang diceraikan suaminya.

Disebabkan itu, pada hari kejadian Bunga mengesyaki sesuatu apabila suspek tidak memberhentikan motosikalnya selepas melalui kawasan sekolah seterusnya nekad terjun dari kenderaan berkenaan.

Kompas melaporkan, mangsa menceritakan perkara itu kepada gurunya sebelum dia dibawa ke balai polis berdekatan.

“Selepas menerima laporan mangsa, polis segera menahan suspek sebelum dia sempat lari meninggalkan Samarinda.

“Suspek mengaku mencabuli anak tirinya lebih enam kali di dua hotel berbeza, di sini.

“Polis turut menahan ibu kandung mangsa. Mereka kini ditahan di Balai Polis Samarinda Sebrang untuk siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Samarinda Sebrang, Suko Widodo.

Menurut Suko, suspek bekerja di sebuah syarikat pengangkutan di Samarinda manakala S suri rumah.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 11:30am
d