global

Mahathir, Jusuf Kalla berbalas kritikan

Oleh Agensi

NEW YORK: Timbalan Presiden, Jusuf Kalla (JK) memberitahu Indonesia tidak berdiam diri dalam isu bencana kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Setakat ini, Indonesia sudah mengerahkan 40 helikopter dan 40 pesawat untuk mengawal kebakaran hutan, sekaligus operasi terbesar yang pernah digerakkan.

Kompas.com yang memetik JK berkata, Indonesia ketika ini banyak dikaitkan dengan pembakaran hutan untuk perladangan, namun faktor angin perlu diberi perhatian kerana ia membawa jerebu ke negara jiran.

“Mangsa kebakaran di sini adalah hutan dan penduduk Indonesia. Justeru, kita tidak boleh kawal jika angin mengarah ke Malaysia atau ke barat dan timur,” kata JK.

JK berkata demikian selepas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mengkritik Indonesia susulan masalah jerebu yang dilaporkan teruk berlaku di beberapa negeri di Malaysia.

JK turut dilaporkan menolak tawaran bantuan dari Malaysia untuk mengatasi kebakaran hutan.

“Sesiapa sahaja akan menyalahkan dan mengkritik Indonesia. Tetapi mereka (Indonesia) tidak bertindak untuk mengatasi keadaan itu malah menghalang negara luar untuk membantunya,” ujar Mahathir saat itu.

JK mengingatkan, negaranya pernah menerima bantuan dari Malaysia sebelum ini namun menurutnya, bantuan itu tak seberapa.

“Jangan lupa, syarikat dari Malaysia turut beroperasi di Sumatera dan Kalimantan. Perkara paling utama adalah kami tidak boleh menjamin arah tiupan angin sama seperti gas oksigen,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 2:05pm
d