global

2 maut, kem pelarian terbakar

Oleh AFP

MORIA (GREECE): Sekurang-kurangnya, dua pendatang maut dalam kebakaran semalam di kem pelarian pulau Greece sehingga mencetuskan rusuhan.

Agensi Berita Athens yang memetik sumber polis melaporkan, seorang wanita dan seorang kanak-kanak mati dalam kebakaran di kem Moira yang sesak di pulau Lesbos.

Mayat wanita berkenaan dibawa ke hospital tempatan pulau itu sementara mayat kanak-kanak itu diserahkan pelarian kepada pihak berkuasa.

Kebakaran di dalam kem itu berjaya dipadam dengan kapal terbang namun polis terpaksa menembak gas pemedih mata untuk mengawal orang ramai yang marah kerana pihak berkuasa mengambil masa lama memadamkan kebakaran, menurut seorang wartawan AFP.

Bagaimanapun, angka kematian tidak jelas apabila saksi seorang pendatang Afghanistan memberitahu tiga orang maut selepas api menyambar antara enam atau tujuh kontena yang dijadikan rumah.

“Kami menemui dua kanak-kanak yang sudah rentung dan seorang wanita. Kami tutup mayat kanak-kanak dengan selimut sebelum diberikan kepada anggota bomba,” kata Fedouz, 15, kepada AFP.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 11:02am
d