global

Musim hujan bakal akhiri kebakaran

Oleh Reuters

JAKARTA: Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), berkata pihaknya berharap kebakaran yang memusnahkan hutan di sebahagian pulau Sumatera dan Kalimantan akan berakhir apabila tibanya musim hujan.

“Merujuk kepada laporan yang berdasarkan imej satelit terkini dan pemerhatian langsung, kami jangkakan kebakaran hutan tahun ini akan berakhir segera,” kata jurucakap BNPB, Agus Wibowo dalam kenyataan.

Agensi cuaca Indonesia, berkata berdasarkan imej satelit, jumlah titik panas menurun sebanyak 78 peratus antara 26 hingga 28 September.

Indonesia mengerahkan lebih 29,000 anggota untuk mengawal kebakaran dan puluhan pesawat membuat pengeboman air dan pembenihan awan untuk mencetuskan hujan.

Hujan mula turun di beberapa kawasan seperti Riau, Jambi dan Sumatera Selatan serta di wilayah Kalimantan Tengah di pulau Borneo, kata BNPB.

Agensi cuaca, berkata ia akan mengekalkan prosedur pembenihan awan di Sumatera dan Kalimantan untuk mengoptimumkan potensi hujan.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 3:29pm
d