global

Penunjuk perasaan ditembak di dada

Oleh AFP

HONG KONG: Seorang penunjuk perasaan prodemokrasi cedera ditembak di dada selepas rusuhan tercetus di seluruh Hong Kong, susulan China mengadakan perarakan besar-besaran di Beijing untuk memperingati 70 tahun pemerintahan Parti Komunis.

Ia kecederaan pertama akibat tembakan peluru hidup sejak tunjuk perasaan bermula hampir empat bulan lalu, yang dilihat mampu menyuramkan kegemilangan sambutan China semalam.

Rakaman diambil di utara bandar itu menunjukkan seorang anggota polis melepaskan tembakan pada jarak dekat terhadap seorang pemuda.

Sumber polis berkata: “Seorang anggota polis melepaskan tembakan selepas diserang menyebabkan penunjuk perasaan cedera di dadanya di Tsuen Wan.”

Polis memberi rawatan kecemasan sebelum paramedik tiba dan membawanya ke hospital, katanya.

Dalam pada Presiden Xi Jinping menyaksikan perarakan 15,000 askarnya di ibu negara, penunjuk perasaan prodemokrasi di Hong Kong membaling telur terhadap portretnye dengan puluhan ribu orang tidak mengendahkan arahan polis untuk bersurai.

Pertempuran berlaku di beberapa lokasi dengan segelintir penunjuk perasaan membaling batu dan Molotov cocktail, manakala polis membalas dengan gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air.

Menurut laporan, ada kawasan melihat pertempuran teruk apabila polis dibaling bahan kakis.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 6:49pm
d