global

Tak boleh 'tutup buku'

Oleh Reuters

AMSTERDAM: Mahkamah rayuan di The Hague memutuskan saman dikemukakan lima rakyat Indonesia terhadap kerajaan Belanda kerana pembunuhan bapa mereka pada 1947 mesti dibicarakan.

Belanda sekian lama mendakwa semua perbuatan di bekas tanah jajahannya itu sudah terlalu lama berlalu, namun hujahan itu ditolak mahkamah yang menganggap perlu ada kebertanggugjawaban terhadap tahap keganasan terbabit.

Pembunuhan lima lelaki itu berlaku ketika perang kemerdekaan Indonesia yang bermula pada akhir Perang Dunia Kedua pada 1945 dan tamat empat tahun kemudian apabila mendapat kemerdekaan daripada Belanda.

Ketika konflik itu, tentera Belanda membunuh tahanan tanpa perbicaraan, selain turut menyeksa mereka ketika sesi soal siasat, kata mahkamah.

Mahkamah rendah kini akan mendengar kes itu, yang melihat lima plaintif Indonesia berkenaan menyaman Belanda untuk pampasan selain memutuskan sama ada mereka memang anak kepada lelaki yang dibunuh terbabit.

Mahkamah berkata, ini mungkin sukar dibuktikan kerana Belanda tidak menyenaraikan siapa yang ditembak atau bila ia dilakukan sepanjang konflik, selain tiada rekod dibuat selepas keamanan dicapai.

Jika identiti mereka disahkan, lima plaintif perempuan dan lelaki itu berhak menerima pampasan bagi nafkah ketika zaman kanak-kanak mereka.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan kes terdahulu juga membabitkan seorang lelaki Indonesia. Dalam kes itu, plaintif menerima pampasan 5,000 euro (RM23,000) kerana diseksa tentera Belanda ketika perang sama.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 8:09pm
d