global

Krisdayanti, Mulan angkat sumpah ahli parlimen Indonesia

Oleh Agensi

JAKARTA: Penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti dan Mulan Jameela antara 14 artis yang dilantik sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bagi penggal 2019-2024.

Mereka termasuk 575 anggota DPR lain mengangkat sumpah di Kompleks Parlimen, Senayan hari ini.

Selain dua penyanyi itu, pelakon Eko Patrio dan Desy Ratnasari turut dilantik sebagai anggota DPR, lapor detikcom.

Krisdayanti, 44, dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lalu, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.

Krisdayanti bertanding sebagai calon Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) manakala Mulan mewakili Parti Gerakan Indonesia Raya.

Perlantikan dua penyanyi berkenaan yang turut terkenal di Malaysia menjadi bualan hangat netizen dan segelintir daripadanya berasa ragu terhadap keupayaan mereka.

Malah ada netizen kecewa apabila Kridayanti dikatakan tidak dapat bertemu dengan bekas suami, Anang Hermansyah yang tidak meneruskan perkhidmatan sebagai ahli parlimen, lapor CNN Indonesia.

Terdahulu, kawasan di sekitar parlimen dikawal ketat oleh lebih 20,000 anggota pasukan keselamatan berikutan kejadian rusuhan sejak minggu lalu.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 11:56pm
d