global

'Tiada siapa nak kawan....' [VIDEO]

Oleh Agensi

BANGKOK: Sungguh menyentuh hati apabila seekor anak gajah yatim piatu berbaring di atas riba penjaganya kerana tidak diterima oleh kelompok haiwan terbabit selepas beberapa hari dilepaskan ke dalam hutan di Thailand.

Daily Mail melaporkan, gajah berusia dua tahun dinamakan sebagai Chabakeaw sebelum itu diselamatkan oleh pegawai perhilitan ketika ditemui terperangkap di dalam lumpur di Bueng Kan pada 4 April lalu.

Selepas lima bulan berada di bawah jagaan mereka, Jabatan Perhilitan melepaskannya semula ke habitat asal pada 18 September lalu.

Bagaimanapun, dua hari kemudian beberapa pegawai mendapati anak gajah itu ditinggalkan bersendirian sebelum diambil semula untuk dijaga.

Rakaman pada Jumaat lalu menunjukkan gelagat Chabakeaw yang bermanja dengan penjaganya sambil berbaring di atas riba.

Pakar haiwan itu , Pichet Noonto menjelaskan, anak gajah betina berkenaan menghadapi masalah kerana tidak dapat bergaul dengan gajah lain apabila ditinggalkan sejak kecil lagi.

“Kami percaya dia tidak diterima oleh kelompok gajah lain selepas dijaga oleh manusia selama lima bulan. Ia akan menghadapi kesukaran menyesuaikan diri di dalam hutan dan diasingkan.

“Kami akan menjaganya kerana menghantarnya semula ke hutan bukanlah satu pilihan terbaik,” katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2019 @ 4:12pm
d