global

Speaker wanita pertama Indonesia

Oleh Agensi

JAKARTA: Parlimen Indonesia memilih Puan Maharani Nakshatra Kusyala sebagai Speaker wanita pertama negara itu selepas wakil rakyat termasuk sejumlah yang baru dipilih mengangkat sumpah untuk penggal baru kelmarin.

Puan Maharani anak bekas presiden wanita pertama Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan juga cucu pengasas negara itu, Sukarno.

Ahli politik berusia 46 tahun itu anggota Parti Demokratik Indonesia - Perjuangan (PDI-P) yang diketuai Megawati dan membentuk parti terbesar di parlimen.

“Ini kali pertama Speaker wanita dilantik selepas 70 tahun. Saya berharap ini akan menjadi satu inspirasi,” kata Puan Maharani yang dipetik akhbar Tempo kelmarin.

Puan Maharani adalah menteri pembangunan manusia dan hal ehwal budaya dalam Kabinet Presiden Joko Widodo sebelum meletak jawatan untuk menjadi Speaker.

Upacara angkat sumpah kelmarin membabitkan 575 wakil rakyat daripada sembilan parti politik di Indonesia.

Antara cabaran anggota parlimen itu adalah membahaskan undang-undang kontroversi mengharamkan seks luar nikah dan mengehadkan kuasa agensi antirasuah yang mencetuskan bantahan ganas pelajar.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 7:50am
d