global

Beku peluk tayar pesawat

Oleh Agensi

PARIS: Mayat seorang lelaki ditemui berpaut pada bahagian gear pendaratan sebuah pesawat selepas dipercayai mati beku ketika cuba menyelinap keluar dari Guinea.

Lelaki malang itu ditemui apabila pesawat Royal Air Maroc berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Mohammed V, Casablanca, Maghribi, beberapa jam selepas berlepas dari Conakry, pada 30 September lalu.

Rakaman memilukan juga tersebar menunjukkan mayat lelaki itu masih tersangkut pada gear pendaratan, manakala kakitangan lapangan terbang berdiri memerhatikannya.

Kapal terbang itu sepatutnya meneruskan penerbangan ke Perancis selepas Maghribi, lapor Daily Mail.

Pihak berkuasa percaya lelaki malang itu mati tidak lama selepas pesawat berlepas dari Conakry, kerana suhu pada altitud tinggi mampu turun serendah -63 darjah Celsius.

Sementara itu, penumpang tidak dimaklumkan mengenai kejadian itu dan cuma mengetahui ada sesuatu tidak kena apabila bagasi mereka semua tidak sampai ke Perancis.

Seorang penumpang, Camille Sarazin, yang pulang ke Paris selepas melawat Conakry berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya amat terkejut. Saya tidak tahu ada orang yang sanggup melarikan diri dari negara mereka seperti itu. Kasihannya... Saya tumpang rasa sedih untuknya dan keluarga.

“Kami semua tidak dimaklumkan apa-apa. Apabila tiba di Paris semua penumpang yang menaiki pesawat dari Guinea mendapati bagasi kami tidak sampai,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara sebenar apabila seorang rakan di Conakry kemudian mengongsikan artikel mengenai penemuan mayat itu.

Ini bukan kali pertama penumpang gelap terbunuh ketika cuba menyelinap ke dalam pesawat seperti itu.

Pada Jun lalu, seorang lelaki dipercayai mati beku di roda pesawat Kenyan Airways yang menuju ke London sebelum mayatnya terjatuh 1,066 meter ke dalam halaman sebuah rumah di ibu negara England itu.

Mayat itu juga nyaris menghempap pemilik rumah, graduan Oxford yang ketika itu berjemur.

Pihak berkuasa Kenya berkata, lelaki itu mungkin kakitangan lapangan terbang yang menggunakan pas kerjanya untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan keselamatan.

Menurut data Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA), antara Januari 2004 hingga Mac 2015, enam penumpang gelap ditemui dalam pesawat di lapangan terbang di United Kingdom.

Perbuatan itu amat berisiko dan menyebabkan kematian dalam tiga daripada empat kes.

Antara risikonya ialah dihempap gear pendaratan, mati akibat kekurangan oksigen atau mati beku disebabkan suhu di bawah paras beku ketika pesawat berlepas.

Mereka yang mungkin terlepas daripada semua risiko itu turut berdepan kemungkinan jatuh dari aras tinggi ketika bahagian gear pendaratan dibuka untuk mendarat.

Disiarkan pada: October 3, 2019 @ 8:17am
d