global

Pagar, parit kejam Trump

Oleh Agensi

WASHINGTON: Presiden Donald Trump mencadangkan kaki pendatang ditembak, parit berisi ular dan buaya dibina di sempadan manakala pagar dipasang arus elektrik malah mahu menutup keseluruhan sempadan sepanjang 3,200 dengan Mexico.

Dalam buku “Border Wars: Inside Trump’s Assault on Immigration” yang bakal diterbitkan, Trump membuat cadangan dan arahan itu ketika mesyuarat dengan pegawai kanannya, termasuk menantunya, Jared Kushner.

Menurut New York Times yang akan menerbitkan buku itu, artikel berkenaan berdasarkan temuramah dengan lebih 10 pegawai kanan Rumah Putih dan penasihat Trump. Mereka diberi jaminan identiti tidak akan didedahkan.

Mereka menganggap tindakan Trump pada Mac itu sebagai ‘minggu yang panas dengan kemarahan presiden’ dan Trump turut mengancam memecat kakitangan yang menentangnya.

Mesyuarat itu turut dihadiri pembantu Trump, Stephen Miller, bekas Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen, Setiausaha Negara Mike Pompeo, bekas ketua Kastam dan Keselamatan Sempadan Kevin McAleenan dan pemangku ketua kakitangan Mick Mulvaney.

Laporan NYT itu menunjukkan betapa tegangnya isu pendatang kepada Trump yang cuba memenuhi janjinya membina tembok di sempadan dengan Mexico.

“Saya mahu ini dilakukan pada tengah hari esok,” jerit Trump sambil Kirstjen serta Kushner cuba menenangkan presiden.

Mereka kemudian memujuk Trump supaya melanjutkan tarikh akhir penutupan sempadan itu kepada dua minggu lagi dan selepas itu mendesak Mexico menahan lebih ramai pendatang, meminta wakil Republikan dan Dewan Perniagaan meyakinkan Trump mengenai kesan buruk penutupan itu.

Beberapa hari kemudian, Trump mula ‘berlembut’ dengan idea itu dan memberi cadangan kepada Kirstjen supaya mengenakan tarif terhadap Mexico.

Hubungan Trump dengan Kirstjen menjadi tegang kerana sering membantah presiden sehingga dipecat atas cadangan Miller, perancang agenda pendatang Trump.

Tembok Trump itu kini dalam pembinaan selepas Pentagon bersetuju memberi AS$3.6 bilion (RM15.08 bilion) belanjawannya.

Semalam, NYT melaporkan Trump dengan marah menafikan laporan berkenaan dan menuduh ia berita palsu.

“Kini media cuba menyatakan saya mahu parit berisi buaya dan ular, arus elektrik pada pagar tajam di sempadan selatan. Media sudah jadi gila. Berita Palsu!” tulis Trump melalui Twitter.

Beliau bagaimanapun, menyerang Washington Post, bukannya NYT.

“Ia ditulis orang Washington Post, anda tahu ia tidak tepat, ia palsu,” katanya.

Washington Post dimiliki pengasas Amazon.com, Jeff Bezos.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 7:07am
d