global

James Franco dituduh eksploitasi bakal pelakon

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Dua wanita memfailkan saman terhadap pelakon Hollywood, James Franco kerana mendakwanya menjalankan sekolah perfileman palsu di mana wanita muda yang mahu memperbaiki kerjaya lakonan ditipu untuk mengadakan sesi uji bakat bogel atau melakukan adegan seks.

Saman berkenaan menuduh pelakon Spiderman dan Oz The Great And Powerful itu mengeksploitasi bakal pelakon di sekolah yang kini tidak lagi beroperasi.

Dua wanita itu, pelakon Sarah Tither-Kaplan dan Toni Gaal berkata, mereka mendaftarkan diri dengan sekolah lakonan Franco, 41, pada 2014.

Mereka mendakwa Franco dan dua lelaki yang terbabit dengan syarikat penerbitannya serta sekolah berkenaan melakukan gangguan seksual, diskriminasi, fraud dan salah laku lain.

“Mereka mengumpan bakal pelakon dengan kerjaya dalam perfileman serta televisyen.

“Sasaran mereka juga diperdaya untuk membayar wang menerusi ‘sekolah lakonan’ palsu (Studio 4) yang bertujuan memanfaatkan Franco dan syarikat penerbitannya semata-mata, dengan pengambilan wanita untuk berlakon hanya jika mereka bersetuju melakukan aksi seksual, berbogel atau melakonkan adegan seks termasuk secara beramai-ramai,” kata saman itu.

Peguam Michael Plonsker berkata dalam satu kenyataan, anak guamnya belum diserahkan saman berkenaan yang dianggap ‘tidak tepat.’

“Franco bukan saja akan mempertahankan diri, malah menuntut ganti rugi daripada plaintif dan peguam mereka kerana memfailkan saman yang hanya bertujuan meraih publisiti,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 11:50am
d