global

Tembak mati menantu kerana terkejut

Oleh Agensi

FLORIDA: Seorang warga emas menembak mati menantu lelakinya yang melompat keluar dari semak untuk memberi kejutan sempena ulang tahunnya.

Richard Dennis, 61, melepaskan tembakan ke arah Christopher Bergan, 37, di luar rumahnya di Pensacola pada malam Selasa lalu.

Polis menggambarkan insiden itu sebagai kemalangan ngeri, lapor Daily Mail.

Ketua Polis Santa Rosa County, Bob Johnson berkata, mangsa tinggal di Norway dan segera ke rumah Dennis sebaik tiba di lapangan terbang Florida pada petang kejadian.

Johnson berkata, Dennis yang tidak dimaklumkan mengenai kedatangan mangsa terdengar bunyi ketukan kuat pada pintu belakang rumah kira-kira jam 11.30 malam.

Ketika dia membuka lampu luar rumah, Bergan tiba-tiba melompat keluar dari semak sambil membuat bunyi menggeram.

Tindakan Bergan menyebabkan Dennis terkejut lalu melepaskan tembakan ke dada lelaki itu yang maut di tempat kejadian.

Dennis memberitahu polis seorang saudara datang ke rumahnya sehari sebelum kejadian dan mengetuk pintu hadapan dengan kuat.

Namun, Dennis tidak akan didakwa atas kejadian itu.

Disiarkan pada: October 4, 2019 @ 11:24pm
d