global

Putera Harry saman tabloid

Oleh AFP

LONDON: Putera Henry memfailkan saman terhadap dua penerbit akhbar tabloid Britain dipercayai berhubung dakwaan menggodam telefon, beberapa hari selepas menyelar media yang dianggap mengkritik isterinya dalam liputan mereka.

Henry yang lebih mesra digelar Harry, 35, pada awal minggu lalu juga menyaman satu akhbar lain kerana mengganggu privasi.

News Group Newspapers yang menerbitkan tabloid harian The Sun dan News of the World (yang tidak lagi beroperasi) mengesahkan menerima tuntutan itu daripada Harry yang juga Duke of Sussex.

Sumber penerbit Daily Mirror, Reach, memberitahu AFP mereka dimaklumkan prosiding sudah dimulakan tetapi belum menerima sebarang dokumen.

Agensi berita Press Association (PA) dan Sky News memetik sumber istana mengesahkan tuntutan berkenaan berhubung ‘pintasan haram pesanan suara.’

Harry sebelum ini memfailkan tuntutan kerana gangguan privasi terhadap The Mail pada Ahad lalu, selepas ia menerbitkan surat daripada isterinya Meghan Markle kepada bapanya.

Ini disusuli kritikan terhadap media tabloid berhubung liputannya mengenai Meghan, dengan mendakwa isterinya itu mangsa gangguan media seperti mendiang ibunya, Diana sebelum kematiannya pada 1997. Kritikan seperti itu tidak pernah dilakukan anggota keluarga diraja.

Semua ini berlaku pada penghujung lawatan ke Afrika Selatan bagi pihak Ratu Elizabeth II yang mendapat liputan positif media Britain.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 11:23am
d