global

Tujuh bekas pejuang maut

Oleh AFP

MANILA: Tujuh bekas pejuang pemisah terbunuh dalam serangan diakui dilaksanakan Daish di selatan Filipina, kata tentera dan polis.

Mangsa yang maut adalah anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan gerila terbesar Filipina sebelum menyerahkan senjata api mereka bulan lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian damai 2014 yang dipersetujui.

Kumpulan pro-Daish, Dawlah Islamiyah menyerang kem MILF berhampiran bandar Shariff Saydona semalam, mencetuskan pertempuran selama beberapa jam kata komander batalion tentera tempatan, Leftenan Kolonel Ernesto Gener.

Daish mengaku bertanggungjawab dalam pengumuman yang dilihat SITE Intelligence Group, kumpulan yang memantau aktiviti militan.

Menurut kumpulan militan itu, lapan anggota MILF terbunuh, tetapi komander polis tempatan, Leftenan Kolonel Arnold Santiago memberitahu media pihak berkuasa hanya maklum mengenai tujuh mangsa.

Penduduk tempatan berkata, mereka melihat tujuh mayat dimasukkan ke dalam bot di tebing sungai di Shariff Saydona, kira-kira 900 kilometer di selatan Manila.

Disiarkan pada: October 5, 2019 @ 1:23pm
d